Thursday, March 29, 2007

Mari Berpantun

Pantun

Penulis: L.Sharlene

Budak sekolah berbekal susu
Pergi berkelah mengutip lokan
Mengapa adik diam membisu
Kalau salah harap maafkan

Joran kayu di atas para
Pohon selasih di tepi kota
Fikiran buntu badan sengsara
Bila kekasih tiada di mata

Filem Revieu Bujang Lapuk

Berikut ini adalah tulisan pelajar MSP K.W.Tan mengenai projek menghayati filem klasik Melayu bagi kursus Bahasa Melayu Khas

Filem : Bujang Lapuk
Watak Utama: Ramlee,Aziz dan Sudin
Penulis Ulasan Filem : K.W. Tan

Setelah menonton filem ini,saya dapati filem ini menceritakan tentang kisah tiga orang sahabat iaitu Ramli,Ajis dan Sudin yang menghadapi kesukaran untuk mendapat teman hidup.Di akhir kesukaran ini, ketiga-tiga sahabat ini berjaya mendapatkan teman hidup mereka.Saya sangat suka menonton filem ini kerana jalan ceritanya sangat lucu sekali.

Filem ini juga menceritakan kisah yang menyayat hati. Disebabkan cinta sejati, Zaiton tidak mahu berkahwin dengan seorang kaya pilihan emaknya.Dia lebih suka berkahwin dengan Sudin walaupun Sudin adalah seorang pemuda miskin.Ibu Zaiton tidak suka pada Sudin dan ini menyebabkan Ibu Sudin bertengkar dengan Ibu Zaiton.Puan Normah,ia-itu tuan rumah di tempat Sudin menumpang,cuba menolong mereka menjadi jiran yang baik.
Ramli juga cuba menolong Sudin dan Zaiton.Dia menyuruh Zaiton mencuri cincin ibunya dan dijual di kedai pajak.Duit cincin yang dijual itu diberikan pada Sudin.Cincin ibu Zaiton ditukar dengan cincin palsu.Dengan cara ini, Sudin mempunyai wang untuk berkahwin dengan Zaiton.
Saya berasa gembira bila melihat Sudin gunakan botol untuk bertemu Zaiton.Inilah satu sahaja caranya bagi Sudin untuk bertemu Zaiton.

Ramli juga ada seorang teman wanita tetapi teman wanita itu seorang penipu .Ramli ditipu oleh teman wanita di sebuah kedai makan.Yang lucu, tuan rumah iaitu Cik Normah sangat suka pada Ramli tetapi Ramli tidak tahu yang Cik Normah suka padanya. Cik Normah cuba menolong Ramli dengan meminjamkan wang kepada Ramli.Cik Normah juga selalu mencari jalan agar Ramli suka padanya.Dia berasa sangat malu bila berhadapan dengan Ramli.Di akhir cerita ,Cik Normah berjaya mendapatkan Ramli sebagai teman hidupnya.

Pada mulanya Ajis tida ada kekasih.Dia berasa sangat sedih bila Ramli dan Sudin telah ada kekaksih.Tetapi pada akhirnya dia dapat mencari teman hidup bila dia menyelamatkan Sofia iaitu jirannya yang selalu datang ke rumah Cik Normah kerana meminjam beras.Sofia mahu membunuh diri kerana ayah tirinya mahu kawannya Sharif merogol Sofia.Ayahnya berhutang judi pada Sharif.Bagi membayar hutang judinya, ayah Sofia mahu Sayarif merogol anaknya.Sofia melarikan diri dan cuba bunuh diri. Ajis berjaya selamatkan Sofia dan bawa balik ke rumah Cik Normah. Sofia berasa sangat sedih tetapi Cik Normah mahu Sofia tinggal dengannya.Oleh itu bapa Sofia tidak boleh mengganggunya lagi.Ketika Sofia tingga di rumah Cik Normah, dia mula sukakan Ajis. Ajis pun suka kepada Sofia.

Ketiga-tiga sahabat ini sudah ada teman hidup sejati.Akhirnya Ajis berkahwin dengan Sofia dan Sudin berkahwin dengan Zaiton.Pada hari perkahwinan mereka, Ramli dan Cik Normah bersetuju hendak berkahwin.Filem ini ditamatkan dengan tiga pasangan pengantin berjalan bersama-sama.

K.W.Tan

Wednesday, March 28, 2007

Menulis Karangan : Peribahasa

Bagi pelajar JC.One yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu H1, saya lampirkan contoh karangan peribahasa yang boleh dijadikan bahan rujukan sekiranya anda berminat menulis karangan peribahasa.

Peribahasanya ialah Sudah Jatuh Di Timpa Tangga. Peribahsa ini serupa atau seiras maknanya dengan peribahasa Antan Patah Lesung Hilang.Oleh bacalah berita ini untuk renungan.

Nasib empat beradik cacat umpama jatuh ditimpa tangga

Cheah Ban Foo (tengah) bersama empat beradik yang cacat dan lumpuh iaitu (dari kanan) Patrick, Lawrence Francis, Morgan dan Lourdes Francis di Taman Desa Rishah, semalam

Nasib empat beradik yang cacat dan lumpuh bagaikan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ setelah kedua-dua ibu bapa mereka yang sebelum ini menjadi tempat bergantung pergi buat selama-lamanya sejak setahun lalu.
Bapa mereka, A. Raju meninggal dunia empat tahun lalu manakala ibu mereka, A. Lurthemari meninggal dunia tahun lalu.
Kehilangan ibu bapa tersayang menyebabkan kehidupan Patrcik, 34, Lawrence, 32, Morgan, 30 dan Lourde, 28 bertambah perit kerana sudah tiada lagi tempat bergantung.
Bagaimanapun kesediaan emak saudara mereka, Jean Antoine, 40, mengambil alih tanggungjawab yang ditinggalkan ibu bapa empat beradik itu sedikit melegakan kerana sanggup menjadi ‘ibu’ mereka.
‘‘Saya terpaksa mengambil tanggungjawab yang amat berat ini untuk membela adik beradik yang cacat ini walaupun saya hanya pekerja kilang. Kalau tidak siapa lagi hendak jaga mereka ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa di sini hari ini.
Katanya, semasa dia bekerja, keempat adik beradik ini dijaga oleh bapa saudaranya, A. Anthony, 63 untuk melihat keadaan mereka di rumah.
“Bila saya bekerja bapa saudara inilah yang menjaga mereka seperti memberi makan, menghantar ke tandas dan membuat kerja-kerja lain.
“Apabila waktu malam, selepas saya balik dari bekerja saya dan suami saya pula yang mengambil alih tanggungjawab itu untuk menjaga keempat adik-beradik yang lumpuh dan cacat itu,” katanya.
Katanya, keempat-empat adik-beradik ini juga tidak boleh bercakap dan bergerak sejak dari kecil lagi.
Beliau berkata, oleh itu dalam seharian keempat mereka hanya menonton televisyen untuk memenuhi masa lapang mereka.
“Apa yang kami lakukan ialah menyediakan jadual makan kepada mereka kerana mereka juga tidak tahu untuk meminta sesuatu jika diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini, keadaan mereka masih sihat dan tidak perlu berulang- alik ke hospital atau klinik untuk mendapat rawatan,” katanya.
Katanya, pihaknya kini terpaksa membelanjakan sebanyak $600 sebulan untuk menyara keempat adik-beradik ini untuk keperluan mereka.
Beliau berkata, sebanyak $200 diperlukan setiap bulan untuk membeli pampers mereka.
“Kami hanya memperoleh sebanyak $150 sebulan dari Jabatan kebajikan Masyarakat untuk menyara mereka.
“Saya rasa bantuan ini tidak mencukupi dan oleh itu saya merayu kepada masyarakat supaya menambah bantuan ini,” katanya.
Masyarakat setempat diseru supaya menambah bantuan untuk keempat-empat adik-beradik ini.
Katanya, bantuan sedia ada tersebut tidak mencukupi berikutan kos sara hidup yang tinggi sekarang.
“Saya berharap kebajikan masyarakat dan orang ramai dapat membantu keluarga ini bagi mengatasi beban hiudp mereka,” katanya.

Usah berputus asa.

Peraduan Pidato

Peraduan Berpidato peringkat akhir bagi peserta-peserta sekolah menengah telah berlangsung di Maktab Rendah Tampines petang tadi. Sayangnya peserta kita Indri gagal mencapai matlamatnya untuk menjadi juara.Ketewasan Indri pada pandangan saya ialah kemungkinan beliau tidak memanfaatkan kebolehannya dan kedudukannya sebagai peserta terakhir bagi pertandingan tersebut. Bahasa yang digunakan seperti 'merogol' dan 'membutuhkan' adalah tidak sesuai walaupun beliau telah diingatkan ketika menjalani latihan.Lagu Hijau yang ' diucapkan' tidak dapat dinyanyikan dengan begitu berkesan.Penyampaiannya tidak menggambarkan sebagai seorang pemidato sebaliknya beliau menjerit,memekik-mekik hingga menyebabkan para penonton dan pengadil terkejut.
Sebagai seorang pemidato,beliau haruslah melembutkan alunan suaranya dan cuba mengajak para pengadil dan penonton mendengar hujah-hujahnya.Sebaliknya jeritan suara beliau dengan dibantu oleh P.A System yang kuat dan lantang menyebabkan hilang minat dan tumpuan pengadil mendengar hujahnya.

Di bahagian berpidato secara spontan beliau telah memilih tajuk 'perkahwinan' tetapi memohon supaya diberi pilihan untuk berpidato atas tajuk permainan tradisional.Saya dapati hujah beliau tidak berfokus kepada permainan tradisonal yang dahulunya menjadi permainan anak-anak Melayu di masa lapang.Mengapa permainan itu dimainkan?,bagaimana permainan itu dimainkan? dan mengapa hari ini permainan tradisonal Melayu hari ini tidak digemari anak-anak Melayu ? tidak diperkatakan Indri.Suaranya yang lantang dan penutup ucapan yang disudahi dengan pantun tidak berjaya meyakinkan para pengadil dan penonton.Oleh itu tidak hairanlah beliau gagal menawan fikiran dan hati para pengadil.

Namun ,saya harap beliau tidak berputus asa dengan kegagalan yang dihadapi pada petang tadi.Masih ada peluang untuk beliau menyertai pertandingan tersebut pada tahun hadapan.

Tuesday, March 27, 2007

Wakil VJC ke Pertandingan Akhir

Pada hari ini 28 March 2007, Indri Lingga Putri seorang pelajar dari 07V14 akan menyertai pertandingan akhir Peraduan Pidato anjuran Maktab Rendah Tampines.Di peringkat saringan Adeeb dan Indri telah pun mewakili Maktab Rendah Victoria walau bagaimanapun hanya Indri sahaja yang terpilih untuk meneruskan perjuangan menjadi juara di peringkat akhir.Melalui ruangan ini , saya berharap pelajar-pelajar yang mengambil kursus bahasa Melayu di maktab ini termasuk pelajar-pelajar yang telah pun mengambil Bahasa Melayu Lanjutan/Tinggi di peringkat 'O' yang lalu sudulah kiranya menghadirkan diri ke Maktab Rendah Tampines sebagai penyokong dan berikanlah sokongan moral kepada Indri.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar berikut iaitu Mohd Nabil ,Mohd Khairul,Mohamad Hamdan,Siswand, Chew Zakir dan Mohd Abdur Rahim yang telah mewakili Maktab Rendah Victoria dalam pertandingan Kuiz MIQ 2007 anjuran Fellowship Muslim Student Association (FMSA).Khairul,Hamdan,Siswand dan Rahim telah layak ke pusingan suku akhir bagi meneruskan perjuangan menempatkan diri ke separuh akhir.Insya Allah dengan inzin Allah dan juga usaha dan initiatif dari empat wira kita, hasrat kita untuk layak ke peringkat akhir akan ternyata.

Baru-baru ini lima orang pelajar-pelajar Malay Special Program telah membuat filem review dalam projek Menghayati Filem-Filem Klassik Melayu. Salah seorang dari mereka telah menulis reviewfilem lagenda Melayu Hang Tuah. Berikut ini saya siarkan tulisan beliau mengenai lagenda Hang Tuah


Ulasan Filem Melayu

File mini direview oleh L. Sharlene

Hang Tuah:


Sejak kecil lagi, saya sudah mengetahui tentang lagenda Melayu bernama Hang Tuah.Saya selalu berfikir bahawa hero dalam cerita rakyat ini ialah Hang Tuah.Tetapi selepas menonton filem ini, saya berpendapat lagenda ini harus dinamakan “Hang Jebat”. Sejak dari mula filem ini, saya tidak menyukai watak utama Hang Tuah.Walaupun dia sudah bertemu cinta sebenar iaitu gadis kampung bernama Melur , namun fikirannya berfokus pada kesetiaan terhadap raja. Saya berasa bahawa walaupun setiap orang mesti mempunyai sikap kesetiaankepada orang yang disanjung , akhlak dan moraldirinya tetap dijaga.

Di sekeliling hidup Hang Tuah ada ramai orang yang suka padanya tetapi Hang Tuah tidak menghargai persahabatn mereka. Sebagai contoh, Melur bersedia meninggalkan keluarganya dan terpaksa hidup di istana kerana cinta kepada Hang Tuah tetapi Hang Tuah berfikir bahwa Melur akan dijadikan dayang kepada raja.Bila Melur menjadi dayang di istana kerana kesilapannya , Hang Tuah mengakui bahawa dia tidak terdaya menolong Melur dan tamatkan hubungan mereka. Jika saya adalah Melur , saya akan merasa benci dan menyesal terhadap pengkhianatan kekasih saya. Saya mempunyai watak suka membalas dendam dan tidak memaafkan kesalahan.Watak ini bertentangan dengan watak Melur.Dari kesetiaannya, saya melihat Melur sangat cinta pada Hang Tuah. Saya memuji cinta Melur yang mulia itu. Saya juga berharap pada suatu hari nanti saya boleh bercinta dan sanggup mati untuk kekasih saya.Dalam filem ini,watak Melur dilakunkan oleh pelakun wanita yang berbakat.Dia mempunyai faktor istimewa dan membuat saya berasa simpati. Setiap kali dia menangis saya juga merasa sedih.Walaupun dia masih muda, dia mempunyai daya pemikiran yang matang.Malangnya, Melur mencintai lelaki yang tidak mencintainya.

Bila saya melihat Hang Jebat, saya segera terfikir kepada ibu saya. Walaupun dia amat garang dan panas baran , namun hatinya sangat baik. Sekiranya kamu ahli keluargnya dia pasti akan mempertahan hidup kamu.Walaupun Hang Jebat tidak mengenali Melur, dia menggalakkan Hang Tuah menemui Melur di istana.Dia cuba menolong Hang Tuah dan Melur kerana dia menganggap Hang Tuah seperti abangnya.Bila dia menyangka Hang Tuah sudah dibunuh oleh Sultan, dia membahayakan nyawanya untuk membalas dendam.Hang Jebat tidak bernasib baik,pembunuhnya ialah rakan baiknya iaitu Hang Tuah. Hang Tuah tidak menghargai pengorbanan Hang Jebat yang sanggup mati untuknya.Sindiran dalam kesudahan cerita ini ialah bahawa selepas Hang Tuah membunuh Hang Jebat, semua menteri negara mengatakan Hang Tuah adalah hero mereka.Hero yang nyata dalam cerita ini ialah Hang Jebat seorang yang berkorban untuk kawan-kawannya.


Kesetiaan Hang Tuah mengingatkan saya tentang kesetiaan rakyat Jepun kepada maharaja mereka.Tapi kesetiaan Hang Tuah membuta tuli.Kalau dia lebih tulus, mungkin dia akan melihat kebodohan Sultan. Jika Sultan betul-betul menghargai kesetiaan menterinya baginda pasti tidak membunuh Hang Tuah atau Hang Jebat tanpa siasatan.Baginda hanya memerintahkan menteri ketika baginda memerlukan bantuan dan perlindungan.Saya berasa memberi kesetiaan kepada orang yang mementingkan diri sendiri tidak berfaedah.

Saya berasa kagum bahawa ada juga orang yang setia pada negara dan kawan,tetapi kalau saya ada kawan seperti itu saya tidak khianati hubungan persahabatan saya kerana kesetiaan sebaliknya saya akan menjaga hubungan persahabatan dan keluarga tersebut.Pada pendapat saya walaupun watak hang Tuah sangat tegas dan mulia tetapi dia tidak akan terselamat dalam masyarakat modenhari ini kerana dia terlalu percaya sangat kepada kesetiaan membuta tuli .

Pelajar-pelajar MSP juga pandai berpantun. Cuba anda baca pantun ini ciptaan

L.Moses

Berteduh beruk di pohon rendang
Hujan gerimis di merata paya
Hodoh buruk di pandang orang
Cantik manis di mata saya

Pantun ciptaan L Sharlene

Kita menari di luar bilik
Sebarang tari kita tarikan
Kita menyanyi adik beradik
Sebarang lagu kita nyanyikan.

Bolehkan awak memahami sajak tulisan S.Amanda

Dilamun Cinta

Sekiranya itu suatu mimpi
mengapa hatiku dilamun cinta
siapa yang aku cinta
untuk siapa

Kewujudan adalah satu keistimewaan
Wajahmu yang tampan ku rindui
Hatiku ini menanti seri darimu
kata-kata cinta yang dilafazkan
tidak akan berubah
tiada siapa yang dapat menggantikan
luahan rasa cinta ini

Kewujudan adalah satu keistimewaan
Wajahmu tidak mudah saya lupakan
Kegembiraan menanti jawapan darimu
memerlukan masa
namun jawapan darimu sudah tentu akan tiba
cinta yang timbul dari hati ini
tidak ku peduli
sekiranya kau tak memahami
kini aku sudah pun buat pilihan



Semoga bersua lagi di lain masa

Thursday, March 8, 2007

Masalah disiplin

Pada hari Khamis 8.03.2007 jam 12 tengah hari ketika saya berjalan ke kelas IP1V24 saya terserempak dengan tiga orang budak lelaki (mungkin bekas pelajar Victoria School) sedang berbual-bual dan seorang daripadanya duduk bertenggek di railing. Saya menasihatkannya agar jangan duduk bertenggek di railing kerana perbuatan tersebut membahayakan dirinya sekiranya dia tidak dapat mengimbangi badannya.Kemalangan boleh berlaku dalam keadaan yang tidak disangka-sangka atau tidak diduga.Oleh itu janganlah mencari nahas .

Pada hari ini iaitu hari Jumaat 9.03.2007 jam 7.45 pagi saya telah menyergah dua budak lelaki J.C. One (bekas pelajar-pelajar Victoria School) yang cuba memanjat pagar berhadapan Marine Parade Road. Jeritan saya menyebabkan pelajar-pelajar tersebut membatalkan niatnya memanjat pagar dan terus berjalan ke Pondok Pengawal Keselamatan untuk melaporkan diri sebagai pelajar yang datang lambat pada hari tersebut.
7 minit kemudian saya sempat mengambil gambar seorang pelajar JC2 memanjat pagar yang sama dan menangkapnya dan menyerahkannya kepada Civic Tutor Mr Sayer untuk dikaunsel.

Ketiga-tiga orang pelajar ini menyedari bahawa perbuatan memanjat pagar di hadapan bilik tutorial Blok Kontener membahayakan diri sendiri tetapi mengapa mereka begitu nekad melakukannnya.Sekiranya mereka terlambat ke sekolah, laporkan diri ke pondok Pegawai Keselamatan.
Pelajar-pelajar semua mengetahui bahawa salah seorang pelajar wanita kita meninggal dunia ketika melakukukan aktiviti senaman berlari-lari anak.Tragedi semacam ini tidak kita ingini berlaku tetapi masih berlaku.
Bagaimana pula dengan pelajar-pelajar yang duduk bertenggek di railing tingkat 2 di bangunan T Blok dan juga tiga orang pelajar lelaki yang memanjat pagar di hadapan bilik tutorial kontainer blok.
Saya diberitahu oleh Cikgu Marliza bahawa seorang pelajar Sekolah Victoria yang akan menduduki peperiksaan 'O' pada tahun ini terlibat dalam satu kemalangan ketika melakukan senaman di East Coast pada 8 Mac 2007 dan sekarang terlantar di unit jagaan rapi ICU.

Kesimpulannya; Bahaya menimpa ke atas seseorang itu dalam keadaan yang tidak diduga.Musibah seperti ini adalah takdir. Walau bagaimanapun kita tidak digalakkan mencari bahaya atau menempah maut, mencari nahas dan sengaja mencederakan diri mungkin kerana terdesak atau berada dalam kecemasan.Tuhan memberi kita akal dan perasaan.Oleh itu gunakan akal dan perasaan kita dengan sewajar-wajarnya bila kita menghadapi kecemasan.

Cukuplah untuk pelajarn hari ini.

Wednesday, March 7, 2007

Selamat Datang

Saya mengalu-alukan kedatangan pelajar-pelajar ke lelaman ini. Saya harap melalui lelaman ini dapatlah kita bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai perkembangan semasa yang berlaku di dalam maktab rendah Victoria.
Saya mendapat tahu bahawa Alia pelajar 06A12 iaitu pengerusi MCS VJC ingin mengambil bahagian dalam pertandingan Pentas Budaya 2007 yang dianjurkan oleh Persatuan bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura. Saya harap pelajar-pelajar yang mengambil bahasa Melayu sama ada di maktab ini atau pun pelajar-pelajar yang mengambil bahasa Melayu lanjutan peringkat menengah memberi sokongan moral dan tenaga bagi menjayakan projek yang mulia ini. Semoga usaha yang dimulakan Alia ini akan membuahkan hasil dan kejayaan.